Wednesday, March 21, 2012

KERJA KURSUS PSV

DAN HARI PUN KIAN  HANGAT

Salam sayang di alam maya..
Dalam diam, masa terus berlalu.. angin hari kian kering dan menghangatkan.
Kering diri menjadikan jiwa kian beku penuh gelisah. Rasa resah ini mengusik jiwa.
Apakah di hati kalian, anak-anak didikku jua sama gelora?
Gelora menghadapi tugasan yang kian mencabar jiwa dan minda.
Gelora menempuh hari-hari yang terasa kian pendek masanya.
Atau
Masih dalam khayalan dan mimpi kosong.
masih mengejar pelangi yang menipu mata.
Sedarlah sayang, masa itu amat cemburu
Sedarlah sayang, detik itu kian menyakitkan.
Jangan mudahkan kerja yang sukar ini....
Ingatlah, semua ini demi hari depan kalian!

Ayuh kita mulakan tugasan seterusnya.
PASTIKAN semua tugasan minggu lalu telah disiapkan. Jika gagal, gagallah diri kalian dalam membahagikan masa yang sibuk ini. Jika gagal memenuhi masa yang padat ini, kerja anda akan tertunggak demi tertunggak. Mampukan di saat akhir nanti, kalian dapat menghasilkan kerja yang sempurna? Fikir-fikirkan.

TUGASAN 4

LAKARAN OLAHAN IDEA UNTUK MENGHASILKAN REKA CORAK HIDUPAN MARIN
SASARAN KERJA  : 2-3 MUKA SURAT
TEMPOH  KERJA  : 19/3/2012 - 26/3/2012 (1 MINGGU )

Ternyata kerja kita kian mencabar. Perlu tumpuan dan kefahaman sepenuhnya.
Berdasarkan lakaran hidupan marin yang dipilih, buatlah pelbagai lakaran yang kreatif .
Gunakanlah segala imaginasi dan bakat kalian untuk menampilkan lakaran yang benar-benar berkualiti

Catatan : Berdasarkan motif hidupan marin yang dipilih. Buatkan beberapa reka corak yang menarik dan berlainan rekaan. Ikutilah contoh yang ku paparkan buat membantu imaginasi kalian.


                                                                  MOTIF PILIHAN




                                             
                                              CONTOH LAKARAN REKA CORAK MOTIF
 



Pelajarku sayang,
Bukalah dan kembangkan idea kalian seluas-luasnya. Andai perlu merujuk sumber, kutiplah di mana sahaja. Gunakan sumber internet untuk membantu pekembangan idea kalian. Jangan malas dan membuang masa begitu saja. 
Ketahuilah, kalian sudah banyak tertunggak kerja, Ayuh kejar kembali dan siapkan segera tugasan yang lalu kerana pada hari mendatang nanti akan ada lagi tugasan yang kian mencabar.

                
INSYAALLAH. KEMBALI NANTI DENGAN TUGASAN LAIN.

Tuesday, March 13, 2012

KEMBARA KERJA SENI



LANGKAH INI KIAN LAJU

ASSALAMUAILAIKUM.
Selamat bercuti... semoga cuti kalian penuh keceriaan.
pun kala riang menghiasi diri, jangan lupa perjalanan kita masih jauh....
pun kala keseronokan menghimpun di segenap penjuru diri, jangan terleka tugasan yang kian mencabar!
Ambillah sedikit waktu kalian, ingatlah tugasan mingguan yang harus kalian tangani. 
Ayuh bangun dari mimpi. kita sama berganding bahu...

PERINGATAN!
PASTIKAN KASUT KANVAS SUDAH DIBELI - BIAR MURAH ASALKAN MENARIK
JOM! KITA JADIKAN KASUT KANVAS INI PALING CANTIK, PALING PENARIK!


AYUH KITA MULAKAN LAGI.


TUGASAN 3

LAKARAN REKA BENTUK KASUT KANVAS
SASARAN KERJA : 2-3 MUKA SURAT
TEMPOH KERJA   : 5/3/2012 - 19/3/2012 (2 MINGGU)

Sejenak renunglah koleksi gambar kasut kanvas yang kalian kumpul dan gubah itu,
Bayangkan rupa bentuknya dan buatlah lakaran rekabentuk kasut berdasarkan gambar yang ada.Alangkah indahnya andai kalian tambah rekaan dengan idea sendiri.
Ayuh sayang...mulakan lakaran kalian. mekarkan imaginasimu, kembangankan kreativiti dari segala kebolehan kalian.

FOKUS!

Setiap keping kertas lukisan lakaran reka  bentuk kasut yang sudah siap, isikan sedikit hiasan
dan andai ingin sentuhan warna - gunalah pensil warna di beberapa tempat yang sesuai.
 INGAT! jangan warna semua permukaan. Ini hanyalah lakaran.


Ingin ku bantu kalian semampu yang ada. Lantaran itu ku hembuskan sedikit contoh untuk tatapan kalian.






Berdasarkan lakaran di atas, pilih satu lakaran sebagai lakaran reka bentuk kasut yang menjadi pilihan. Pastikan Lakaran yang kalian pilih adalah lakaran kasut yang anda beli!


Seperti contoh ini.
Cantiknya jika lakaran reka bentuk pilihan itu dilukis semula dan masukkan sedikit warna sebagai ramuan keindahan.

                                     * lakaran ini diambil dari koleksi lakaran rekabentuk kasut kanvas yang dilukis sebelum ini.

Sayang,
Syukur kepada Allah kerana kalian sudah mampu menyiapkan tugasan di atas. Buatlah dengan setulus hati. Buatlah dengan segala rasa kecintaan pada impian yang indah. Janganlah lagi meneruskan amalan kerja di saat akhir. Ianya amat menakutkan... nanti kerja kalian kelam kabut. Pasti tiada keindahan yang mampu kalian pamerkan.
Apapun keyakinan di hati ini tetap teguh, kailan memang pelajar yang hebat dan penuh semangat...




TUGASAN 4

LUKISAN REALISTIK HIDUPAN MARIN YANG DIPILIH
SASARAN KERJA : 1 MUKA SURAT
TEMPOH KERJA   :  10/3/2012 - 19/3/2012 ( 1 MINGGU)

Ku tahu cuti kalian penuh terisi. Tapi berhentilah sekejap dari mengejar mimpi-mimpi indah itu.
Di sini tetap menanti kalian hadir membawa tugasan ini dengan penuh kesempurnaan.
Di sini akan tetap ada pengharapan agar kalian benar-benar mampu menyiapkan tugasan ini.

Dan ku ingin membantu kalian dengan contoh ini. Pilih satu dari gambar hidupan marin yang kalian kumpulkan dulu untuk dijadikan sumber sebenar karya kalian nanti.
INGAT SAYANG...
Pastikan kalian memilih gambar marin yang menarik dan sesuai untuk kalian jadikan motif pada kasut kalian. Bayangkan dulu bagaimana pilihan itu ingin digubah. Dah yakin dengan pilihan?
Ayuh lukis dengan penuh tumpuan. Guna warna air atau pensil warna untuk serlahkan lukisan kalian. Jangan takut ok..lukis aje.

Tengok contoh ini...





Alhamdulillah. Dan siap tugasan masa cuti ini. Bawa  pada hari persekolahan nanti.

PASTIKAN semua kerja anda di simpan dalam fail yang sedia ada. Mulai minggu pertama persekolahan nanti, urusan menilai dan pemberian markah fasa 1 akan dijalankan.
HARAP BERSEDIA!

JUMPA LAGI 
Semoga pertemuan kita nanti penuh keindahan
hadiah pada kerinduan yang tersembunyi di hati...





Saturday, February 18, 2012

KEMBARA KERJA PSV

DAN LANGKAHPUN BERMULA DI SINI


PELAJAR KU SAYANG!
Dengan keyakinan, dengan kesabaran, mari mulakan langkah yang kian mencabar ini. Yakinkan diri bahawa langkah pertama ini akan menentukan langkah seterusnya - langkah ke mercu jaya!  

Bersediakah kalian? 

Moh kita semak kelengkapan perang kita:

1. Kertas lukisan                - 40 keping (165 gsm - 200 gsm)
2. kertas A4                        - mengikut keperluan individu
3. kertas warna                  - mengikut keperluan individu
4. gam
5. gunting / cutter
6. warna air dan pensil warna
7. alat lukis / tulis
8. kulit folio
9. lain-lain

* Pastikan semua alatan sentiasa lengkap dan dibawa ke sekolah untuk kerja -kerja mingguan!

TUGASAN 1

KOLEKSI GAMBAR PELBAGAI JENIS KASUT KANVAS 
SASARAN KERJA  : 2-3 MUKASURAT
TEMPOH KERJA   : 20/2/2012  - 2/3/2012 ( 2 MINGGU)

Semua pelajar perlu mendapatkan gambar-gambar kasut kanvas dari pelbagai sumber seperti katalog, majalah,akhbar dan dari internet. Kumpulkan semua gambar tersebut dan tampalkan pada kertas lukisan dengan susunan yang kreatif.

* sebelum tampal, buat sedikit hiasan pada kertas lukisan sebagai hiasan latar.

 Sayang kamu, 
Ku letakkan beberapa contoh gambar kasut kanvas. Kalau nak  tambah sebagai sumber kajian, boleh  cetak keluar. Printer warna la....

  










Jom kita terus siapkan tugasan seterusnya. Jangan main-main ok.....


TUGASAN 2

KOLEKSI GAMBAR HIDUPAN LAUT SEBAGAI SUMBER ILHAM
SASARAN KERJA  : 2-3 MUKASURAT
TEMPOH KERJA   : 20/2/2012  - 2/3/2012 ( 2 MINGGU)

 Pada detik yang sama, pada tempoh yang sama, kalian jangan terlupa akan tugas kedua ini. Pergilah meneroka kemana pelusuk alam. Terjunlah ke dasar lautan, keluarkan segala khazanah laut itu. kita perlunya sekarang....Ambillah seribu koleksi yang kalian inginkan.
jadikan ia gambar paling hebat dalam hidup kalian.


* sebelum tampal, buat sedikit hiasan pada kertas lukisan sebagai hiasan latar. 

 Ku selitkan jua contoh seadanya untuk tambahan pada pelbagai contoh yang kalian sudah kumpulkan ..
















Jangan lupa, datang kelas macam biasa. Bawa bahan-bahan untuk menyiapkan tugasan ini. Penerangan jelas akan disampaikan dalam kelas nanti.

INGAT SAYANG....
JANGAN SUKA TANGGUH-TANGGUHKAN KERJA. BANYAK LAGI KERJA SETERUSNYA MENANTI.

JUMPA DI DALAM KELAS NANTI.

Saturday, February 11, 2012

KERJA KURSUS PENDIDIKAN SENI VISUALKERTAS 3 
SPM 2012
2611/3

SELAMAT MENGHADAPI TUGASAN PSV UNTUK PELAJAR SENI SMK JENGKA 16
ASALLAMUALAIKUM

DAN  telah tiba kini, detik dan tikanya kalian yang bergelar artis di kalangan warga SMJ 16 untuk menghadapi getirnya ujian ini. Suatu pengalaman baru yang tiada dimiliki oleh pelajar lain. Walau apapun, kita akan bersama menempuh detik mencabar ini. Hanya yang diharapkan, letakkan segala tumpuan, tenaga, usaha, kesungguhan, keyakinan, keberanian dan sejuta kesabaran untuk menuju puncak jaya. Tanpa itu semua, pasti ada yang kecundang di tengah perjalanan, akan ada yang lari dan rebah dengan segala kepayahan. pada yang cekal dan penuh azam, akan ku bantu dengan segala kudrat yang ada. ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. InsyaAllah kejayaan milik kita.....


AYUH! Mari kita mulakan langkah...
 
LANGKAH 1
Pastinya kalian sudah bersedia dengan Fail - Fail yang akan kita isikan segala hasil kerja kalian semua. Tentu kalian sudah menyiapkan fail tersebut. INGAT! tarikh akhir menyiapkan fail - 17.2.12. Pada yang belum siap, ayuh bangun dari tidur... siapkan tidak kira siang mahupun malam..
Ku bisikkan contoh Fail  buat kalian, agar tidak hanyut tersasar.

                              * panjang - 20 inci       * tinggi - 13 inci      * tebal - 2 1/2 inci


            * bentuk Fail bebas tapi biar menarik dan kreatif. Biar kita bermula dengan 
               keindahan dan diakhirnya juga penuh keindahan.



 LANGKAH 2

Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim.. 


 Jangan teragak-agak lagi. Jom kita mulakan kerja kita yang pertama. Keluarkan segala ilmu di dada. tunjukkan segala kemahiran dan bakat yang ada. 
kerja kita yang pertama ... pemanas badan!
Siapkan KANDUNGAN . Rekakan satu kerangka yang kreatif untuk bahagian kandungan. Jangan isikan apa2 dahulu. Kita hiaskan ia dengan segala gaya yang paling kreatif mampu kalian hasilkan. Jangan ragu-ragu. buatlah dirumah dahulu, nanti waktu seni bawa semua bahan dan alat. kita sambung di sekolah...

Untuk hilangkan gementar di hati, ku usapkan contoh menemani kerja kalian..







     Ingat sayang! ini sekadar sekelumit contoh. Idea dan kretiviti sendiri paling diperlukan.





LANGKAH 3


Dah siap KANDUNGAN ? Ayuh kita cipta pula KATA-KATA ALUAN / PENGENALAN.
Sediakan teks / ayat yang menarik untuk menyatakan tentang segala tugasan yang kalian akan lakukan. Semoga rajin buat rujukan pada buku-buku/ majalah. Ambil contoh kata aluan mereka dan rekakan pula kata aluan kalian sendiri.
INGAT! jangan salin 100% orang punyai. Tak baik! .....


* Hiasan latar amat diperlukan. Jangan terlalu penuh hingga menggangu. Buat secara bersahaja...


tengok contoh ni.





Alhamdulillah... kita dah mulakan langkah pertama. Semoga minggu-minggu akan datang, kalian sentiasa segar dan sihat untuk meneruskan tugasan ini. Buatlah dengan sesungguh jiwa. Segala usaha ini akan kembalikan hasil  untuk kalian jua.
Pastikan kalian menyiapkan tugasan permulaan yang mudah ini. Latihan untuk memantapkan kerja kalian. JANGAN TERTUNGGAK! akan susah kemudian nanti...   




JUMPA LAGI




Thursday, October 20, 2011

CERITA SUNGAI PAHANG

Bisikan Sungai Pahang kembali mengusik jiwa ini.Kembali membawa coretan bahasa rindu zaman silam untuk renungan dan tatapan generasi maya! Suatu seni dalam ucapan sebuah kerinduan dan bisikan cinta nan terselindung pada mainan kata. Itulah kelembutan cinta musim lalu.



Sepi Sungai Pahang
(13 September 1986)
waktu ku lihat bumi kembali basah
telah datang pula sepi dari celahan akar
burung-burung tidak lagi berkicauan.Sepi!
hanya tarian ranting-ranting tua berirama
angin dingin menerpa lesu.Sepi!
heningnya diri ....oh!
sayunya hati....oh!

kesepian ini
adalah tusukan rasa di dasar hati
jauh nan jauh sekali
rasa yang kaku untuk dibisikkan
kerana tiada siapa di sini
untuk mendengar, untuk merasa
betapa sunyinya
betapa sayunya
betapa halusnya keheningan begini..
yang cuma akan ada
aku dan Sungai Pahang
jua tebing yang tak pernah menegurku
yang tak pernah bercerita
tentang engkau padaku.

sebenar-benarnya aku sepi
Sungai Pahang dan kesunyiannya
sama dan akan juga sama
kerana engkau yang masih tak tersedar
rindu masih di sini....



Perjalanan Pada Sungai Pahang V
(15 September 1986)


terima kasih
kerana aku sendiri tidak tahu
bagaimana aku kesakitan begini
setiap kali air yang menyimbah tebing
menyiram kepedihan rasa pada jemari kaki ku
lalu bertanya pada mimpi
mengapa?

ku cuba mengingati pada mimpiku yang hilang
kemana berakhir kesakitan rasa ini
kalau pada dada air itu
tiadapun bayang diri yang terduduk dan gelisah
berulangkalinya.
terima kasih
kerana aku pernah jua bermimpi
bermain di kaki air itu
yang ku harapkan akan datang lagi
pada setiap hujan bukit...
mengalir dan mengalir
ketika ada seorang aku
merenung bayangmu dalam kilau
di air Sungai Pahang!



Melodi Sungai Pahang VI
(16 September 1986)

tiap kalinya merenung kejemuan
akupun berkata-kata barang sepatah
harapnya selembut melodi
harapnya ada jawapan yang ramah
dari airmu yang menari lincah.
terkadang
jarang waktunya aku berkesempatan
mendengar bisikan airmu
alunannya terlalu segan...
sedang di tebing ini
aku belum upaya mengerti
pada penantian suaramu.
biasanya
sering masa begini
hanya aku yang mengintai tarimu...airku
bermain dengan pasir
bergurau dengan bebatu
kenapa tidak aku?

suatu kelupaan pada takdir
untuk menilai aku...



Aduhai,
seksanya untuk menyimpan suatu yang bernama perasaan. Namun itulah permulaan suatu mimpi yang kemudian menjadi nyata.Mengimbau detik itu, terasa sangat susah untuk mengawal perasaan. Dengan seungkap kata, bisikan hati ini dapat dilontarkan pada alam,dengan harapan akan ada yang mengerti... 
Sungai Pahanglah tempat ku curahkan rasa dan perasaan ini.
itulah kenangan

Jumpa lagi... 
 



Sunday, October 16, 2011

NOLSTAGIA ZAMAN SILAM


1986

03 Januari 1986 - Pertama kali aku menjejakkan kaki di suatu daerah nun jauh di penjuru alam. Suatu daerah yang tak pernah terbayang diruang mata. Suatu daerah pada zahirnya amat menakutkan. Aku mengatur langkah memulakan kehidupan. Di sinilah aku, di sinilah jasadku, di sinilah jiwaku. Aku harus akur, bahawa di daerah yang bernama JENGKA inilah lurah kehidupanku.

Seksanya jiwa, meronta bergelodak. Namun aku seorang lelaki. Aku gagahi langkah ini...
Dalam diam, dalam waktu yang terus berlalu, hilang segala keluh kesah. ku telan segala perih, ku buang jauh rasa tersisih.

TAK KENAL MAKA TAK CINTA!

Sekian hari menyusuri daerah ini, bergelumang dalam hari ke hari, ada sesuatu menyentuh rasa. Ada sesuatu bermain di jiwa. Kagum, terpegun! Bagai suatu keindahan kala senja di birai Sungai Pahang...

SUNGAI PAHANG

Aku sembunyikan resah hati dan gelisahnya jiwa ini dalam dadamu. Saban hari yang membangkitkan aku dari segala getaran, aku jadikan Sungai Pahang kalimahku, untuk ku bisikan sebuah kerinduan....

Dan
ku calitkan kalimah dalam suatu episod rasa pada namamu Sungai Pahang. Agar akan ada detiknya, seorang insan tersedar dan bertanya mengapa?....




Sungai Pahang I
(24 mac 1986)

Aku manusia pendatang
seperti air yang terhumban darimu Sungai Pahang
yang akan berdiri
tiada harga diri
mencari senyum antara angin dan matahari.


Kerna aku seorang pendatang
di kesunyian ini
biar aku jua nan merasa
terkecewa dan harus senyum
bagai seruan air Sungai Pahang
tenang mengalir segala.

Di tebing ini
aku menghampiri birai air
untuk mengingati keinginan
yang belum pernah tersedar.

Hanya kerana aku manusia pendatang..







 Sungai Pahang II
(25 April 1986)

Pada ingatan semalam
aku tiba-tiba terduduk untuk diam
di ranting perdu Sungai Pahang
tersangkut pandangan pada ruang mata...
yang kemudian hilang.
Mungkin
aku yang khilaf
menafsirkan angin yang membekukan hati
dan tak pernah meminta izin untuk berdiri
atau melafazkan ucapan
Dugaku,
adalah harapan yang terbang
untuk sama mengucapkan senang
dalam perjalanan di padang pelangi.

Hakikat diri
akupun begini jadinya
harus lagi mencari dan menanti malam
agar tebing ini milikku
untuk aku persembahkan mimpi perjalanan
akan aku ini adalah insan yang masih wujud
walau harus mencipta malamku sendiri
dan menunggu mimpiku bertandang.





Lanjutan Pada Sungai Pahang II
(29 Julai 1986)

Jiwaku bangkit berdiri
Kala orang lain lena dan tidak tersedar
kecuali dikau yang masih memandangku.
lalu ku ucap terima kasih
dan kemaafan
andai ucapan ini tiada yang mengerti
tidak jua dikau...

Aku berkata kerana aku seorang pendatang
yang berdiri lagi di tebing Sungai Pahang ini
bercerita tentang matamu dari matahatiku
bagai air yang tenang mengalir ke kuala,
bercerita tentang bibirmu dari mimpiku
bagai riak yang mengusik kakiku..
aku terpesona!

Barangkali aku tak perlu berkata-kata
supaya orang lain tidak tersedar
juga dikau yang tak pernah mengerti
kerana dikau air dari gunung
mengalir di Sungai Pahang ini
lalu bertemu aku di tebing sepi
seketika
dan akan berlalu jua.

Jadi
berdirinya aku
sekadar memohon maaf lagi
andai suatu detik nanti
engkau mengerti tentang aku
dan bertanya mengapa?





Kemarau Sungai Pahang IV
(30 Ogos 1986)

Sungai Pahangku kehilangan hujan
kemaraunya menjengah hatiku
sama merintih kedahagaan.

Dan ranting-ranting berguguran
waktu aku masih di tebing ini
mengeluh mengeruh pada air yang keruh
mengingati senyum yang pernah ada
detik kakiku mencecah ke gigi airmu
yang kemudian hilang

Seperti kemarau Sungai Pahang
air dari gunung yang ku ciptakan bayangmu
muram dan lesu
mengalir tanpa menolehku yang termenung
di tebing sepi ini....





Mengingati bait-bait kata itu, menjadikan hati merasa rindu pada musim lalu, zaman silam yang tak akan kembali lagi. Saat pertemuan sebuah mimpi yang tidak pernah ku jangkakan. Itulah hakikat.. Hanya sekadar ini dulu, calitan kisah silam. Suatu nolstagia yang tidak akan terpadam selama hayat. Sekadar berkongsi kenangan, di zaman yang tiada lagi FB,telefon bimbit, dan teknologi lain, hanya surat penghubung diri dan kalimah-kalimah kata sebagai pengubat rindu.. JUMPA LAGI untuk cerita Sungai Pahangku seterusnya.

Andai ada kenangan untuk dikongsi, kirimkan  di laman ini. agar kita nikmati bersama kenangan silam...