Monday, September 26, 2011

KARYA DALAM KENANGAN

RINDU
Seketika, tika kala diam aku dalam kamar seni nan sepi ini, mencari-cari koleksi karya lama. terpandang pada koleksi gambar lama. Terpana diri. Telah banyak rupanya calitan jiwa ini tiada lagi dalam kartu diri.Begitu banyak yang kini barangkali menghiasan kamar-kamar insan lain. Semoga ia menjadi kesayangan sesiapa saja. Itulah hadiahku untuk dunia, dunia seni! Sayang, tidak pernah terfikir dulu untuk merakamkan koleksi itu. 

MERONTA HATI

Manalah ku jangka ia menyentuh rasa, ku pungut mana yang ada untuk di abadikan bersama maya ini bersama keluh kesah jiwa kecewa. Apakan daya, hanya sekerat ini yang tersimpan dalam kenangan ini. 
Aku rindu pada semua yang tiada....
dan aku sayang pada yang ada.

SENI ITU PERASAAN DAN JIWA!

hanya ini menjadi tatapan hati....

                                      
                                          TAJUK     : LORONG HIDUP
                                           MEDIA    : WARNA AIR

"Lorong Hidup"
Apakah akan ada aku yang melangkah ke penghujung sana.
meneruskan hakikat hidup yang tidak setenang alam.
lorong yang ku lalui saban waktu, ada damai
lorong yang ku tinggalkan saban masa, ada nyaman
membawa erti kehidupan dan cinta yang tertumpah di lorong itu...


Catatan:
karya ini telah dibeli dan dihadiahkan kepada Wan Azizah Wan Abd. Rafar 
Pengetua SMK Temin, Jerantut.
terima kasih cikgu, jasamu dikenang!





                                           TAJUK    : RUMAHKU SYURGAKU
                                           MEDIA   : WARNA MINYAK

"Rumahku Syurgaku"
Akan ku pertahankan sekelumit yang ada
biar ada ribut menghentak laman
biar ada hujan membasah jemoran
inilah yang ada dari kehidupan, anugerah Ilahi
dan 
aku redha menghitung hari 
kerna bahgia itu di hati, cinta itu nun di sanubari
akan aku teruskan hari dari kamar ini...


catatan:
karya ini telah dibeli dan dihadiahkan kepada 
YB Zailah (Ketua Muslimat PAS Pusat)
sempena perasmian
Jentera Pilihanraya Halwa PAS Parlimen K.Krau




                                                         TAJUK    : PELAYARAN
                                                           MEDIA  : WARNA AIR


"Pelayaran"
Tiada lagi pelabuhan, ia tertinggal jauh di belakang
Tiada lagi perhentian, ia sayup di hujung kuala
kini pelayaran ini harus diteruskan
walau tanpa mentari, walau tanpa bintang
yang tinggal di haluan itu, hanyalah suatu perjuangan
agar tidak hanyut dan tenggelam
agar ia terus pada destinasi hari esok...
Mampukan aku di keseorangan ini !



catatan :
karya ini telah diabadikan di laluan pejabat SMK Jengka 16, Bandar Jengka Pahang





                                                        TAJUK   : REZEKI ALAM
                                                         MEDIA : CAT EMULSION

"Rezeki Alam"
Ku bentangkan segala rezeki yang melata
bukan untuk dibaziri, ada anak-anak yang lapar!
tebarkan kemewahan ini, untuk yang mendayu merayu
hulurkan kepada yang meminta
di situlah berkat akan menyelubungi 
kerana ini rezeki Allah untuk alam..



catatan :
Karya ini disumbangkan kepada kantin SMK Jengka 16
aku sayang sekolahku..





TAJUK    : SEPAKAT
     MEDIA   : WARNA AIR


"Sepakat"
Setitis peluh yang gugur dari seribu tenaga yang utuh
adalah suatu kepuasan, suatu kenikmatan.
dan aku rela berdiri dan tumbang bersama
demi suatu ikatan 
demi untuk suatu perjuangan...



Catatan :
karya ini di hadiahkan kepada Pengetua SMK Jengka 16
Sempena pelancaran NKRA Tawaran Baru Peringkat Sekolah



Pada yang memiliki karya aku yang tidak seberapa ini walau di mana sahaja, terima kasih atas kesudian meletakkan ia di ruang kamar hidup kalian. Terima kasih kerana sudi bersama menghargai seni yang suci .


Thursday, September 22, 2011

HALWA MATA HATI

Membawa lagi sedikit calitan untuk tatapan mata yang mungkin mengusik ke hati. Satu perjalanan waktu semalam nan terabadi dalam karya yang secuma ini. Barangkali tidak sehebat karya agung dunia mahupun setaraf para pelukis tanah air. Namun itulah karyaku, yang berpijak pada tatapan mata hati dalam sentuhan tangan yang masih kaku membeku. Nyatanya aku bangga di kurniakan secubit bakat walau ia hanya seketul garam di tengah lautan. inilah milikku yang ingin ku kongsi penghayatan bersama pada yang sudi...



                                                    
                                                      KOD     : A08
                                                      TAJUK  : TEMPAYAN 1
                                                      SAIZ     : 44 INCI X 23 INCI (113 CM X 59 CM)
                                                      MEDIA : MEDIA CAMPURAN
                                                      HARGA: RM 800.00 (TERMASUK FRAME)

" Tempayan 1" mainan idea dari keunikan tempayan yang menjadi satu daya tarikan kala diabadikan bersama hijaunya alam. Campuran media digunakan sebagai satu olahan yang membawa kelainan dalam pengkaryaan.  Tidak mahu terikat sekadar suatu catan berasaskan berus semata-mata. Tempayan 1 menggabungkan bahan persekitatan dan calitan warna untuk menjiwai segala keindahannya. dan ia akan tetap mekar di penjuru taman hati...




                                                    KOD    : A09
                                                    TAJUK : PERHENTIAN
                                                    SAIZ    : 20 INCI X 30 INCI (51 CM X 76 CM)
                                                    MEDIA: CAT AIR
                                                    HARGA: RM 350.00 (TERMASUK FRAME)

"Perhentian" merupakan suatu perhentian kepada sebuah perjalanan melalui celahan alur dan tasik. Lambang suatu perjalanan hidup yang terkadang terhenti seketika mencari dan menikmati sesuatu yang ada pada diri dan kehidupan ini. Perhentian pada luarannya sekadar suatu persinggahan sebuah perjalanan perahu kecil dalam tasik yang sempit. Berhenti seketika menghayati keindahan yang ada. Pada hakikat diri, ia suatu perhentian untuk suatu perjalanan yang masih jauh..sayup!




                                             KOD    : A10
                                             TAJUK : LEMBAH HIJAU
                                             SAIZ     : 20 INCI X 30 INCI (51 CM X 76 CM)
                                             MEDIA : WARNA AIR
                                             HARGA: RM 350.00 (TERMASUK FRAME)

" Lembah Hijau" satu pengabadian suasana tenang suatu alam yang jauh dari pencemaran. Suatu rontaan hati untuk memiliki kehidupan yang penuh damai di alam yang kian terhimpit oleh seribu kerosakan.Akan adakah lagi lembah hijau ini untuk generasi akan datang? ... yang pasti aku tidak ingin kehilangan damai ini....



                                             KOD    : A11
                                             TAJUK : LORONG SEPI
                                             SAIZ    : 20 INCI X 30 INCI (51 CM X 76 CM)
                                             MEDIA: WARNA AIR
                                             HARGA: RM 350.00 (TERMASUK FRAME)

"Lorong Sepi" adalah calitan warna suatu lorong yang menjadi laluan penghubung dunia luar dengan generasi kampung nun jauh di pendalaman. Sepi suatu perjalanan adalah gambaran suatu kehidupan yang penuh kesukaran yang menjadi kewajiban untuk insan yang menggunakannya. Ia suatu hakikat..dan aku ingin terus melalui lorong ini untuk mengerti erti kehidupan.....

                                            jumpa lagi pada roda warna yang terus berputar.....


                         

Wednesday, September 14, 2011

SENI ITU INDAH


SEKADAR membawa suatu calitan yang tidak seberapa namun nikmatnya adalah suara yang lahir di hati.  Terkadang betapa suatu ciptaan itu amat bermakna yang mungkin tidak pada yang lain. Namun sekadar berkongsi keindahan seni, tatapilah karya yang seadanya ini...
   

                                                  
                                                    KOD       : A04
                                                    TAJUK   : KHAZANAH RIMBA
                                                    SAIZ       :20 INCI X 30 INCI ( 51 CM X 76 CM)
                                                    MEDIA  : WARNA AIR
                                                    HARGA : RM 350.00 (TERMASUK FRAME)

"Khazanah rimba" adalah satu percikan suara hati akan suatu kehidupan yang seharusnya damai, yang seharusnya tenang tanpa diusik perjalanan hidup mereka.Satu calitan rasa keinginan untuk membawa setiap kehidupan rimba dalam ikatan keindahan nan abadi. Damailah kehidupan rimba anugerah Ilahi.


 

                                           KOD        : A05
                                           TAJUK    : KETEREH
                                           SAIZ       : 20 INCI X 30 INCI ( 51 CM X 76 CM)
                                           MEDIA   : WARNA AIR
                                           HARGA  : RM 350.00 (TERMASUK FRAME)

"Ketereh" lambang keunikan buahnya yang kian hilang dalam ingatan genarasi kala ini.Karya ini mengimbau kenangan alam kanak-kanak yang penuh ceritera. Zaman mengumpul biji ketereh untuk dibakar dan di makan. nikmat sekali. Adakah lagi saat itu....




                                            KOD      : A06
                                            TAJUK   : PENJURU LAMAN 1
                                            SAIZ      :20 INCI X 30 INCI ( 51 CM X 76 CM )
                                            MEDIA   : WARNA AIR
                                            HARGA  : RM 350.00 (TERMASUK FRAME)

"Penjuru Laman 1" mengambil semangat kecantikan bunga-bungaan yang menggoda mata. Sekadar menggambarkan suatu sudut dalam laman yang penuh dengan keindahan, suatu penghargaan pada yang Pencipta. Pada segarnya bebunga ini tertumpa cinta dan kasih sayang manusia...



                                                     KOD     : A07
                                                     TAJUK  : JANTUNG
                                                     SAIZ     :22 INCI X 27 INCI ( 58 CM X 68 CM )
                                                     MEDIA : WARNA DYE (PELAKA)
                                                     HARGA : RM 200.00 (TERMASUK FRAME)

"Jantung" merupakan satu pengabadian calitan pada alam dan segala keindahannya. Suatu kewujudan yang terkadang terlupa untuk dihayati...

Wednesday, September 7, 2011

KEMBARA SENI BUAT TATAPAN HATI



SELAMAT DATANG ! 

Sekadar membawa tatapan dan penghayatan semua untuk menikmati seni mengikut pandangan sendiri. Semoga sedikit calitan ini akan memberi kepuasan dan kecintaan pada segala karya yang ada. andai ada kekurangan,bantu dengan segala idea dan teguran. Sumbangan semua amat diperlukan untuk meningkatkan lagi kemahiran yang sedikit ini.
Andai ada kesudiaan untuk menyumbang kepada perkembangan seni, saya sedia untuk menjual karya yang tidak seberapa ini dengan harga yang seadanya.

  


                                           KOD      : A01
                                           TAJUK  : SIMFONI PERIUK KERA
                                           SAIZ      : 20 INCI X 30INCI (51 CM X 76 CM)
                                           MEDIA  : WARNA AIR
                                           HARGA : RM 350.00 (TERMASUK FRAME)

"Simfoni Periuk Kera" adalah karya yang diangkat daripada keunikan yang ada pada pokok berkenaan. Banyak gambar dan lukisan yang mengabadikan pokok ini dipamerkan kepada umum oleh pelbagai pelukis. Jadi karya ini hanya sekadar menambahkan lagi koleksi karya berasaskan pokok terkenal ini. Karya ini menggunakan warna air yang disembur dengan clear diperingkat akhir untuk membangkitkan warna  serta melindungi warna air tersebut.



                                           
                                                      KOD     : A02
                                                     TAJUK   : TEMPAYAN 2
                                                     SAIZ      : 44 INCI X 23 INCI (113 CM X 59 CM)
                                                     MEDIA  : MEDIA CAMPURAN
                                                    HARGA  : RM 800.00 (TERMASUK FRAME)

"Tempayan 2" merupakan keasyikan dan kecintaan kepada keindahan tempayan yang selalu digunakan sebagai hiasan di setiap laman. Gabungan dengan alam menjadikan tempayan ini memberi erti mendalam kepada ikatan sesuatu kehidupan. Karya ini menggunakan campuran media seperti tampalan perca kertas, bahan semula jadi dari pesekitaran dan juga catan.                                                                                                      


                                          KOD      : A03
                                          TAJUK   : BUNGA HATI
                                          SAIZ      : 23 INCI X 23 INCI (58 CM X 58 CM)
                                          MEDIA  : WARNA PELAKA
                                          HARGA : RM 180.00 (TERMASUK FRAME)

"Bunga Hati" ibarat suatu pernyataan hati tentang keindahan alam flora yang banyak terdapat di sekeliling kita. Suatu karya yang biasa namun membawa pengertiaan mendalam dalam menjelmakan keindahan dicelah seribu halangan.Menggunakan warna pelaka sebagai percubaan menghasilkan pelbagai media mewarna merupakan satu kepuasan diri sendiri.